Tuesday, July 15, 2008

Komplot terhadap Abdullah dan Anwar

Jam 1.45 tengahari, 16 Julai

Saya menerima maklumat sebentar tadi bahawa polis telah menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ini adalah satu berita yang amat mengejutkan saya.

Bagi saya, tindakan ini dibuat tanpa bukti yang kukuh dan satu tindakan yang tidak wajar sama sekali.

Saya rasa, ada semacam satu komplot dalam Umno dan kerajaan sendiri yang cuba untuk mengambil kesempatan daripada suasana yang ada sekarang. Komplot ini bagi saya memang anti Anwar dan juga anti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berdasarkan maklumat yang saya ada, selepas pertemuan antara isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan Abdullah baru-baru ini, ia menunjukkan Abdullah tidak terlibat dalam apa-apa tindakan terhadap Anwar.

Komplot yang ada nampaknya bertujuan untuk mematikan kedua-duanya sekali. Matikan karier politik Anwar dan matikan juga karier politik Abdullah. Menggunakan seketul batu untuk membunuh dua ekor burong serentak.

Lojiknya adalah, apabila tindakan dibuat terhadap Anwar, jari akan dituding kepada Abdullah selaku Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan.

Mengikut bacaan saya, tindakan ini berjaya diambil kerana kegagalan Abdullah sendiri untuk menguasai seluruh jentera kerajaan. Oleh kerana itulah, komplot ini boleh berjalan sedemikian rupa.

Tindakan ini sebenarnya satu tindakan yang sangat bahaya kepada negara dari sudut keselamatan dan juga keharmonian negara.

Oleh kerana implikasinya besar, satu mekanisma perlu dibuat oleh Abdullah selaku Perdana Menteri supaya ia dapat meredakan suasana yang ada sekarang.

Apa yang boleh dibuat oleh Abdullah adalah dengan menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk membuat siasatan terhadap tuduhan yang dibuat ke atas Anwar supaya rakyat yakin tuduhan itu bukan bermotifkan politik tetapi mencari keadilan untuk semua pihak.

Tanpa suruhanjaya sebegini, rakyat tidak akan yakin dengan sebarang tindakan kerajaan.

Thursday, July 3, 2008

Pelan peralihan kuasa dalam Umno

Tanpa niat untuk campur tangan dalam urusan rumah tangga Umno, saya rasa terpanggil untuk memberi komen mengenai isu di atas. Ini kerana pada masa ini pemimpin Umno khususnya presiden Umno adalah juga pemimpin Malaysia iaitu sebagai Perdana Menteri.

Oleh kerana itu, siapa yang memegang kepimpinan tertinggi Umno juga akan menentukan masa depan seluruh rakyat negara ini.

Adalah satu anggapan buat waktu ini bahawa selepas Abdullah, yang akan menggantikannya berdasarkan proses pergantian yang dipegang oleh Umno waktu ini ialah Datuk Seri Najib.

Apakah negara ini selamat di tangan Najib? Inilah persoalannya sekarang. Dengan begitu banyak laporan dan pendedahan, ia sudah tentu menghakis kewibawaan Najib.

Oleh itu, bagi saya, pemimpin Umno di semua peringkat perlu menilai kembali apakah negara ini (selepas daripada Pak Lah) akan diserahkan kepada Najib.

Dengan mengambil kira semua keadaan ini, saya sebagai seorang rakyat Malaysia menggesa pemimpin Umno bahawa mereka perlu bertangjawab dalam memastikan bahawa orang yang akan memegang kepimpinan tertinggi dalam negara ini selepas Pak Lah mestilah orang yang betul-betul bertanggungjawab bukan sahaja dari sudut keselamatan tetapi juga dari sudut pembangunan dan juga intergriti perdana menteri dan juga rakyatnya.

Kalau begitu, adakah Najib layak dimasukkan ke dalam slot ini?


Mustafa Ali
Politik Malaysia

Saturday, June 28, 2008

Milik kekal hanya di zaman penjajah sahaja

28 Jun

Dalam akhbar Utusan hari ini saya terbaca berita kononnya kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Mohamad Nizar Jamaludin becadang untuk memberikan tanah kepada kampung-kampung baru di negeri itu dengan milikan kekal 999 tahun.

Bagi saya, ini satu maklumat baru dan jika benar, ia satu tindakan yang luar biasa sejak negara kita merdeka. Pemberian tanah di zaman selepas merdeka hanya diberikan pajakan atau hak milik selama 99 tahun sahaja paling lama.

Pemberian hak milik 999 tahun atau selagi adanya bulan dan matahari ini hanya berlaku di zaman penjajahan Inggeris sahaja seingat saya.

Jika tujuan pemberian tanah sebegini untuk mendapat political milege dari kumpulan tertentu, pada pendapat saya, kerajaan negeri juga perlu mengkaji kesan negatif dari kumpulan lain dalam negerinya.

Bagi saya, Menteri Besar harus cermat dalam kenyataannya bukan untuk mendapat political milege sahaja. Tambahan lagi apabila ada maklumat yang mengatakan pajakan untuk kampung-kampung tersusun dalam negeri yang sama dan didiami oleh pelbagai kaum termasuk orang-orang Melayu hanya 99 tahun sahaja.

Oleh itu, sebagai Menteri Besar, beliau harus berhati-hati dalam membuat sesuatu kenyataan. Beliau harus membuat kajian teliti terlebih dahulu dan mengambil kira pelbagai pihak termasuk pimpinan masyarakat samada yang menyokong kerajaan atau tidak bersama kerajaan.

Friday, June 27, 2008

Pelajaran dari kes Selangor dan Pulau Pinang

Para pembaca budiman.

Ini adalah tulisan pertama saya dalam alam siber ini khasnya sebagai blogger. Saya memilih untuk menamakan blog ini Politik Malaysia kerana kecenderungan dan pengalaman saya sedikit sebanyak dalam bidang ini.

Untuk tulisan yang pertama ini, saya tertarik dengan apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sekarang. Ia sebenarnya banyak mewarnakan politik Malaysia kini.

Dalam kes di Selangor, saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim atas sikap berani dan tegasnya. Kata orang tindakan beliau itu without fear or favour.

Ini merujuk kepada tindakan beliau menggantung Pegawai Khas beliau Yahaya Shaari selama dua bulan selepas Yahaya disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah atas tuduhan salah guna kuasa. Bagi saya ini tidakan berani dari Khalid dan dibuat tanpa takut akan implikasi politiknya.

Tindakan ini dibuat selari dengan amalan biasa dalam dunia korporat yang mana Khalid terdidik dengannya. Maknanya, style tindakan Khalid nampaknya seumpama tindakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sebuah syarikat korporat berbanding dengan tindakan seorang Menteri Besar kepada sebuah kerajaan negeri yang mesti banyak membuat rujukan kepada pimpinan kerajaan negeri yang lain dan parti sebelum bertindak.

Maknanya, dalam dunia korporat, hire and fire adalah kuasa mutlak CEO tetapi berbeza dengan dengan dunia pentadbiran kerajaan negeri.

Namun begitu, bagi saya Khalid tidak wajar berbuat demikian. Sebagai MB, Khalid perlu bertindak sebagai seorang MB bukan seumpama seorang CEO. Sebagai MB, Khalid perlu merujuk kepada rakan-rakan dalam barisan Exconya serta juga rakan-rakan pimpinannya dalam PKR di samping parti-parti dalam Pakatan sebelum mengambil sebarang tindakan. Apatah lagi Yahaya adalah Setiausaha Perhubungan PKR Negeri. Dalam pilihan raya lalu pula Yahaya adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor.

Apabila Khalid bertindak seumpama seorang CEO, inilah hasilnya. Perkara yang sepatutnya kecil dan positif kini menjadi kecoh kerana implikasi politik dari tindakannya itu. Sebab itu, seorang pemimpin kanan dalam PKR, iaitu Dr Badrul Amin Baharun juga melahirkan kesal dengan tindakan Khalid, bukan setakat Yahaya sahaja. Badrul Amin tidak puashati dengan perlantikan ahli-ahli majlis kerajaan tempatan di Selangor.

Kes Pulau Pinang

Dalam kes Pulau Pinang pula, saya sependapat dengan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dalam kepentingan menjaga alam sekitar. Semua pihak, bukan Lim Guan Eng sahaja sensitif dengan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk mengambil balak di dalam kawasan tadahan air di negeri itu.
Namun demikian, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng tidaklah boleh menyerang Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak begitu sahaja tanpa merujuk dan secara yang berlapik.

Apatah lagi alasan yang dibuat oleh Lim Guan Eng ketika menyerang Azizan adalah MB Kedah itu mengambil syarikat pembalakan dari Sarawak yang baik dengan kerajaan BN. Kalau begitu apa bezanya tindakan Lim Guan Eng di Pulau Pinang melantik seorang pemimpin Gerakan mengetuai sebuah syarikat GLC terpenting di Pulau Pinang. Ini bukan hubungan perniagaan lagi. Ini membawa masuk musuh ke dalam rumah tangga kita yang sudah pasti lagi bahaya dari setakat berhubungan perniagaan sebagaimana yang cuba dibuat oleh MB Kedah itu.

Saya bukanlah suka sangat hendak mengkritik begitu sahaja tetapi kalau masing-masing sudah membuka ruang dan menghentam satu sama lain secara terbuka atau dengan bahasa undang-undangnya ‘open the pandora box’, kita kena masuk jugalah.

Mustafa Ali
Politik Malaysia

Tuesday, June 24, 2008

Selamat berkenalan

Ini adalah posting saya yang pertama dalam blog ini.

Tujuan saya menyertai menyertai bloggers adalah untuk sama-sama memberikan sumbangan dan pengalaman dalam dunia politik Malaysia. Saya yakin, apa yang ada ini jika tidak dikongsi bersama akan hilang ditelan zaman.

Selamat berkenalan di dunia baru saya ini.

Mustafa Ali